Razer Phone Kini Rasmi - Telefon Pintar untuk Kaki Gamer
Rekaan, spesifikasi dan video serta ulasan awal
Razer Phone telah dilancarkan secara
rasmi oleh Razer di sebuah acara khas di New York. Razer Phone ialah telefon
pintar yang direka khas untuk kaki gamer.
Dari segi spesifikasi ia dilengkapi skrin 5.7″ IPS LCD IGZO QHD dengan 120Hz UltraMotion. Skrin dengan
kadar segar semula yang amat tinggi ini pernah digunakan pada peranti Sharp Aquos R yang tidak dipasarkan di
luar Jepun. Ini memastikan paparan yang kelihatan amat lancar apabila
digunakan. Sedikit mengecewakan panel hadapan hanya menggunakan kaca Gorilla Glass 3.
Skrin ini dipadankan dengan pemproses Snapdragon 835, memori sebesar 8GB RAM LPDDR4 dan storage 64GB UFS. Sokongan kad mikroSD sehingga 2TB diberikan. Dwi-kamera utama menggabungkan sensor 12-Megapixel f/1,7 dengan 13-Megapixel
f/2.6. Terdapat zoom optikal 2X
tetapi tiada sokongan OIS. Kamera hadapan pula sebesar 8-Megapixel f/2/2.
Bateri sebesar 4000 mAh dibekalkan menyokong pengecasan pantas QuickCharge 4+ yang
merupakan format terpantas dikeluarkan oleh Qualcomm. Keseluruhan tubuh
diperbuat daripada logam dan ini bermakna tiada sokongan pengecas tanpa wayar.
Melengkapi spesifikasi ialah pembesar suara stereo pada bahagian
hadapan dengan kekisi audio yang besar. Ini menyebabkan Razer Phone mempunyai bingkai yang besar. Tetapi ini disengajakan
bagi membolehkan pengguna memainkan dengan lebih selesa kerana terdapat tempat
untuk meletakkan ibu jari. Bercakap tentang jari, pengimbas cap jari terbina
pada butang kuasa yang terletak di sisi kanan.
Razer phone juga dilengkapi dengan sistem audio Dolby
ATMOS namun tiada
sokongan bicu audio 3.5mm pada
peranti ini atau fon telinga disertakan dengan setiap pembelian. Sebaliknya
penyesuai USB-C ke bicu audio yang
disertakan mempunyai DAC yang
memenuhi piawaian THX. Akhir sekali
peranti ini masih menggunakan Android
7.1.1 dengan pelancar Nova Launcher
Prime. Mereka mengesahkan kemaskini ke Android Oreo akan diterima awal 2018.
Razer Phone bakal dipasarkan di
Amerika Syarikat bermula bulan November ini pada harga $699 iaitu sekitar RM2957 mengikut kadar tukaran mata
wang semasa.
Sumber: RAZER